Online Diary おはようございます。

Wednesday 17 February 2016

Couple? crush?

Jangan dabik dada

Assalamualaikum.

Apa pendapat kau pasal couple? Cinta? Crush?

'Saya tak main lah couple couple ni'

'Semua tu mengarut, tu kan jalan syaitan.'

Kata-kata kat atas ni selalu aku dengar, bahkan hati aku pun terdetik bermonolog macam ni. Biasanya yg kata begini adalah orang yg dah masuk dunia tarbiah, taubat tak couple dah. Atau mungkin, tak pernah couple.

Aku bukan bash sesiapa. Aku bash diri aku jugak sbnrnya, sbb, kadang kita lupa kekuatan hati tu Allah bagi. Kita jadi macam ni sebab Hidayah Allah.

Kuatnya kau bangun malam, Allah yg perkenankan.
Geliganya kau berfikir menyelesaikan masalah mad'u, Allah yg bagi ketajaman akal tu.

Serupa jugak kekuatan hati daripada mendekati zina, Allah yg tadahkan zat-Nya menguatkan kita.

Tapi kita leka.
Kita rasa dah selamat.
Kita rasa once dah berkawan dengan orang tarbiah, bergaul dengan orang karkun, dah pakai handsock dan sebagainya, kita selamat dari masuk ke lembah zina.

Sedangkan… yg berdakwah itu lah diuji Allah dengan ujian lagi kental.

Aku dah 6 tahun single. Tak available. Aku buang jauh-jauh kehendak nak couple sejak awal aku berhijrah lagi. Alhamdulillah lama bertahan.

Sehebat mana lelaki tu, hensem ke kaya ke lantang berbicara ke, aku dah pernah jumpa. Tapi hati tak hendak.

Beberapa kali juga lah para ikhwan cuba whatsapp aku, bermacam gaya 'islamik'. Alhamdulillah Allah kuatkan aku utk tidak reply.

Aku merasakan aku selamat.
Aku merasakan aku tak akan mudah jatuh cinta pada lelaki disebabkan setianya aku pada kesucian agama.

Ramai juga akhwat bertanya aku, bagaimana aku menjaga nafsu ku? Bagaimana aku menjaga diriku dari ikhtilat? Cukup kagum mereka terhadap aku smpai kadang-kadang aku bangga dalam senyap.

Tapi, Allah tak berhenti dari menguji.

Allah hadirkan seorang lelaki yang benar-benar alim, lelaki yang tidak sama dengan mana-mana lelaki 'alim mahupun abid yang pernah aku jumpa.

Tawadhu' nya.
Haya' nya.
Kelembutan bicaranya.
Ukhuwwah sucinya terhadap ikhwan lain dan sungguh jaraknya dia terhadap wanita.

Allah uji aku, dengan meletakkan lelaki itu bekerjasama denganku dalam suatu perkara.

Ku akui itu lah kali pertama aku jatuh cinta setelah 6 tahun tertutup hati dari mana-mana lelaki.

Disebabkan aku kagum dengan akhlak sunnah nya, aku jadikan dia role model aku dari jauh. Aku tak mahu cemarkan dia. Tidak pernah sesekali aku berbual perihal peribadi dengannya melainkan hal kerja.

Pada mulanya alhamdulillah, berkat aku mencontohi akhlak nya, pendekatanku terhadap Allah meningkat. Dan cara pergaulan aku terhadap akhwat lain pun jadi lebih baik.

Aku jadi semakin lembut.
Aku jadi semakin sayangkan Rasulullah disebabkan aku nampak demonstrasi akhlak baginda pada lelaki itu.

Tapi syaitan sentiasa menipu. Sentiasa menyesatkan.

Aku beritahu hal ni pada naqibah aku, bahawa aku terpikat pada dia. Dia lain dari yang lain.

Naqibah aku kata, aku ada dua pilihan. Sama ada minta ayah sampaikan hasratku pada dia, atau lepaskan dia kepada Allah yakni melupakannya (khuatir aku masih belum bersedia menjadi isteri).

Aku lihat diri aku, aku bukan saja masih tak bersedia menjadi isteri. Malah, aku masih belum mencapai cita-cita aku. Jadi terpaksa aku diamkan hasrat.

Tapi… aku berat hati utk melupakannya kerana aku rasa, dia lah paling bagus, paling layak jadi suami.

Jadi, aku pun biarkan nasihat naqibah aku yg kedua, iaitu, melepaskan dia pada Allah.

Aku masih memerhati dia dari jauh. Aku masih menunggu suara azan dia di masjid. Aku masih melihat gerak geri dia utk dijadikan contoh.

Bagi aku, apa lah sangat kalau sekadar mengkagumi?

Dalam beberapa minggu, hati suci dari noda. Hati ini merasakan rindu pada Rasulullah setiap kali nampak dia.

Tapi setelah sebulan, dua bulan, tiga bulan…

Semakin ramai akhwat menyukainya. Aku jadi cemburu bila ada akhwat lain berurusan dengannya. Aku jadi tak keruan bila dia sibuk berbicara mengenai kerja dengan akhwat lain.

Hati dah lain. Berbeza dari awalnya. Kalau dahulu mengingatinya ketika hendak beribadah, kini aku mengingatinya ketika aku hendak masak, makan, tidur, bekerja dan sebagainya.

Bahkan, sehing
ga mimpi akannya.

Astaghfirullah..

Kini solat aku lambat kerana asyik stalk laman blog nya, stalk laman facebooknya, cuba berlumba dengan akhwat lain diam-diam untuk menjadi muslimah terbaik di hadapannya.

Allah, sakitnya hati aku.

Syaitan berjaya menarik aku ke dalam perangkapnya. Zahirnya aku masih tampak tidak 'dicela'. Masih dikagumi akhwat lain atas kekuatanku melawan zina. Tapi… hakikatnya, lemahnya aku kini hanya Allah yang tahu.

Oh ya.

Beberapa minggu yang lepas aku baru tahu bahawa dia sudah berkahwin. Isterinya belajar di Mesir sebab tu nampak seperti dia bujang. Isteri jauh di perantauan rupanya.

Balik dari kerja, aku terus jadi tak tentu arah. Aku terlalu sukakan dia.

Sehingga aku tak makan.
Lambatkan solat.
Mula stalk lelaki 'alim yg lain pula utk menutup cemburu meluak-luak itu.

Aku menangis akhirnya.

Entah lah.. mgkin orang yang membaca pasti akan ketawa dengan apa yg aku luahkan. Syok sendiri, cemburu buta, tak matang…

Tapi aku sedang dalam proses membina kembali iman yg runtuh hanya kerana crush. Si dia langsung tak salah apa-apa. Dia tidak pernah melayanku lebih-lebih, bicaranya kami atas soal kerja.

Tapi aku yg menaruh hati padanya sehingga aku menepis nasihat naqibah supaya jangan fikirkannya lagi sekiranya benar aku tidak berniat utk menjadi isterinya buat masa terdekat ini. Aku yg degil.

Akhirnya jadi macam ni. Sengsara. Nak bina iman balik… separuh mati.

Aku berpuasa dah masuk 5 hari. Demi mencapai kembali khusyukku terhadap Allah.

Ya Allah.

Selama ni aku bangga dengan kekuatanku. Bangga dengan kekebalan aku yg sementara terhadap budaya couple, crush.

Memang benar aku tak pandang lagi ex aku. Telah lama aku tinggalkan budaya stalk men stalk. Lama dah aku tak menaruh harapan pada siapa-siapa.

Selama ni bila orang couple, aku kata pada dia,

'Jangan jadi murah sangat jual cinta kat orang'

'Jangan lemah sangat jatuh hati kat orang'

'Crush hanya utk orang yang leka je'

Dan sebagainya, tapi jarang sekali aku mengatakan pada diri aku, 'Na'uzubillahi Min Zalik'.

Jarang sekali aku mohon Allah lindungi aku dari terjebak seperti mereka kerana aku fikir aku selamat. Aku fikir aku dah selamat.

Rupanya tidak.

Allah uji dalam lagi.

Mgkin benar aku takkan jatuh suka pada mereka yg zahirnya bermaksiat. Tapi mcm mana dgn hamba Allah yg baik itu? Jauh sekali dia menggodaku. Cuba mengayat aku.

Tapi kenapa masih aku suka padanya dan mimpi-mimpi nafsu mengenainya?

Istighfar.

Aku tewas dalam ujian Allah. Meski bagi kau yang membaca, crush itu sesuatu perkara yg kecil. Percaya lah, ia memberi impak terhadap hidup kau.

Allah cemburu kita sayang orang lain melebihi Dia. Bukan hanya Dia cemburu apabila kita bercouple, tapi Dia cemburu bila kita letak seseorang dalam hati kita 'seiring' dengan Nya.

Nah, jangan lah kau tipu kau sayang Allah lebih daripada crush. Kalau benar begitu, bagaimana kau mampu memikirkannya ketika kau hendak beribadah? Yg sepatutnya ketika itu kau fikirkan Allah sahaja jika benar kau sayang Allah melebihi segalanya!

Sedih. Terlalu sedih.

Dan tatkala sedih ini aku masih nampak akhwat sepertiku mendabik dada, bahawa dirinya tidak akan jatuh dalam budaya crush, bercouple dan sebagainya.

Akhwat sekalian, meski ikhwan sekalipun, sebagaimana kuat kita beribadah, kita masih punya rehat. Kita masih tidur. Kita makan. Mandi.

Jika ayat 'Allah sentiasa melihat dan menguji' itu sudah cliche dalam hati kau.

Maka baca ini:

Syaitan tak pernah ada cuti selain Ramadhan. Dan syaitan juga sentiasa bersama kita.

Jika kau merasakan kau tidak couple kerana kau sudah kuat, kerana kau sudah alim, kerana kau sudah selamat…

Percaya lah. Syaitan sedang ketawa menepuk tangan, mereka sedang menang.

#Valentine Notes
#Research And Development (RnD) Unit,  Sahabat Yadim Universiti Malaya (SYUM)
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen